Medan persiapan menjelang Sukan Asia
KEJOHANAN Karate Asia edisi ke-19 di Pusat Perdagangan Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka bermula 21 Julai hingga 23 Julai ini menjadi pentas terbaik buat setiap atlet membuat persiapan sebelum menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 di China September depan.
Sebanyak 17 kategori dipertandingkan iaitu 11 saingan individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing dan enam kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita.
Penyandang juara, Jepun meraih lapan pingat emas, dua perak dan tiga gangsa telah mengesahkan penyertaan dengan menghantar seramai 23 atlet bagi menggegar bumi Ayer Keroh.
Antara atlet yang bakal menjadi tumpuan kali ini sudah pasti terarah kepada Kakeru Nishiyama dari Jepun, Assel Kanay (Kazakhstan) dan Abdel Rahman Almasatfa (Jordan).
Dalam pada itu, Kejohanan Para Karate Asia edisi ke-2 juga akan berlangsung serentak bagi memastikan barisan atlet para setiap negara bertanding menerima tumpuan yang sama.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad menzahirkan penghargaan kepada Persekutuan Karate Asia (AKF) dan Persekutuan Karate Dunia (WKF) atas kepercayaan yang diberikan bagi menganjurkan kedua-dua kejohanan tersebut.
“MAKAF amat menghargai sokongan yang diberikan AKF dan WKF. Bagi pihak MAKAF serta penganjur bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke MITC.
“Penganjuran kali ini bukan sahaja akan mendatangkan keterujaan dan persaingan yang hebat di antara atlet-atlet dan pasukan dari pelbagai negara Asia, malah akan menjadi sebuah platform mempromosikan budaya, warisan dan semangat kesukanan dalam kalangan peminat dan negara yang bertanding,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!