Australia enggan terima sisa Lynas
AUSTRALIA - Australia menolak usaha Putrajaya untuk menghantar sisa radioaktif dari loji pemprosesan nadir bumi dari Lynas Malaysia Sdn Bjd (Lynas) di Gebeng, Kuantan ke negara tersebut.
Memetik portal berita The Australian, Menteri Perlombongan, Petroleum, Tenaga dan Hubungan Industri Australia Barat, Bill Johnston berkata, cara terbaik membuang sisa itu adalah dengan mengembalikannya ke tempat asal nadir bumi itu.
Meskipun berpendapat sebegitu, beliau menegaskan Australia Barat tidak akan mengambil sisa tersebut dari luar negara.
“Secara amnya, tempat terbaik untuk membuang bahan tercemar adalah dari mana ia datang.
“Tetapi kita (Australia) tidak akan mengambil sisa lombong itu kembali," katanya.
Nadir bumi yang diproses di fasiliti Lynas Kuantan yang dinamakan Lynas Advance Material Plants, berasal dari Gunung Weld di Australia Barat.
Sebelum ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menggesa Lynas menghantar kembali sisa buangan tersebut ke Australia kerana ia adalah sebahagian daripada syarat pelesenan.
Fasiliti Lynas menghasilkan dua jenis sisa iaitu WLP radioaktif dan bahan bukan radioaktif neutralisation underflow (NUF).
Sejak Disember tahun lepas, sisa WLP yang terkumpul di Lynas mencatat 451,564 tan, manakala sisa NUF berjumlah 1.113 juta tan.
Lynas telah berusaha mengubah NUF menjadi produk komersil namun kajian perintis mendapati penggunaannya sebagai baja membawa kepada peningkatan tahap logam berat, walaupun dalam tahap yang dibenarkan.
Bagaimanapun, jawatankuasa kajian menteri juga memberi amaran bahawa tahap berat sesuatu logam boleh meningkat jika digunakan dalam kuantiti yang banyak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!