Tiada rekod kematian aktiviti marin akibat cabaran TikTok - ALEA

Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama mengesahkan tiada rekod kematian kerana aktiviti marin yang boleh dikaitkan dengan cabaran trend TikTok.
Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama mengesahkan tiada rekod kematian kerana aktiviti marin yang boleh dikaitkan dengan cabaran trend TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - Bahagian Peronda Marin Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Alabama (ALEA), Amerika Syarikat (AS) mengesahkan tiada rekod kematian kerana aktiviti marin yang boleh dikaitkan dengan cabaran trend TikTok.

Jurucakap TikTok Malaysia, Ariff Roose berkata, pengesahan itu dibuat hasil siasatan dilakukan ALEA dan kenyataan rasmi telah dikeluarkan agensi tersebut di Twitter pada Selasa.

Sehubungan itu, laporan berita berhubung sekurang-kurangnya empat maut di Alabama, selepas menyertai cabaran TikTok adalah tidak benar.

"Kami ingin berkongsi bahawa penyiasatan telah dilakukan dan Bahagian Peronda Marin ALEA menyatakan bahawa tiada bukti bahawa ini dikaitkan dengan TikTok.

"ALEA tidak mempunyai sebarang rekod kematian bot atau berkaitan marin di Alabama yang boleh dikaitkan secara langsung dengan TikTok atau trend di TikTok.

"Dalam kenyataan dikeluarkan, ALEA memberitahu, pada tahun 2020, seorang individu maut selepas terjun dari kapal yang bergerak dan kematian berkaitan marin yang serupa berlaku pada 2021, bagaimanapun, kedua-dua kematian tidak boleh dikaitkan dengan TikTok," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya empat maut di Alabama, AS selepas menyertai cabaran TikTok yang memerlukan mereka melompat dari belakang bot sedang bergerak laju dalam tempoh enam bulan lalu.

Menurut pegawai negeri, keempat-empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan patah leher.

Berita tersebut turut dilaporkan di media-media tempatan.

Dalam pada itu, Ariff Roose berkata, TikTok mempunyai panduan mudah menerusi pusat keselamatan yang boleh dimanfaatkan.

"Ia boleh digunakan oleh remaja dan orang dewasa apabila mereka menemui sesuatu yang berbahaya dalam talian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!