Rangka dinosaur mirip filem Jurassic Park bakal dilelong

Rangka sepanjang 11 meter itu ditemui di sebuah kuari di England pada 1990. - Agensi
Rangka sepanjang 11 meter itu ditemui di sebuah kuari di England pada 1990. - Agensi
A
A
A

DUA rangka dinosaur termasuk reptilia boleh terbang ganas yang sama dilihat dalam filem Jurassic Park dan satu lagi dari haiwan prasejarah Loch Ness akan dilelong di New York pada bulan ini.

Syarikat lelong Sotheby berkata, salah satu raksasa digelar Nessie, bersempena haiwan legenda yang tinggal di tasik dalam di Scotland dijangka dilelong antara AS$600,000 (RM2.7 juta) dan AS$800,000 (RM3.7 juta).

Jenis dinasour itu dikenali sebagai plesiosaur di mana ia kali terakhir dilelong di Paris pada tahun 2020 dan pada masa itu ditempatkan di sebuah muzium persendirian di Jerman.

Ketua Sains dan Budaya Popular Sotheby, Cassandra Hotton berkata, rangka sepanjang 11 meter itu ditemui di sebuah kuari di England pada tahun 1990.

Difahamkan rangka tersebut hampir lengkap 75 peratus dan dalam keadaan luar biasa.

Dengan mempunyai kepala kecil, leher panjang dan sirip, plesiosaur hidup dalam tempoh Jurassic Rendah iaitu kira-kira 190 juta tahun lalu.

“Sejarah plesiosaur juga berkait rapat dengan raksasa Loch Ness yang sukar difahami dalam cerita dongeng Scotland, kerana ramai yang membuat perbandingan morfologi antara plesiosaur dan ‘Nessie’ yang terkenal itu,” kata Sotheby.

Rangka tersebut akan dilelong pada 26 Julai di Sotheby, News York.

Turut ditawarkan dalam acara tersebut adalah reptilia terbang yang dipanggil pteranodon dengan rangka sayap sepanjang enam meter dan dianggarkan AS$4 juta (RM18.6 juta) hingga AS$6 juta (RM27 juta).

Reptilia tersebut dinamakan Horus bersempena nama tuhan Mesir dan spesies khusus tersebut ditemui di Kansas, Amerika Syarikat.

“Selain sambungan dan penstabilan tulang yang standard, hampir semua tulang fosil asal kekal pada asal dan tidak menggunakan bahan tiruan bagi menggantikan bahagian tulang yang hilang,” katanya.

Tambahnya, haiwan prasejarah itu kerap muncul dalam filem Jurassic Park.

Fosil dari haiwan prasejarah kini menjadi tarikan besar semasa acara lelongan.

Sebelum ini, rangka Tyrannosaurus Rex (T-Rex) berjaya dijual dengan harga AS$31.8 juta (RM147.9 juta) pada tahun 2020. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!