Azizulhasni kongsi minat sukan tinju

Azizulhasni (tiga dari kiri) memberikan kata-kata semangat buat para petinju negara. - Foto Facebook Azizulhasni Awang
Azizulhasni (tiga dari kiri) memberikan kata-kata semangat buat para petinju negara. - Foto Facebook Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi mengenai minatnya dalam sukan tinju selepas lumba basikal.

Minat tersebut didedahkan ketika menerima kunjungan Presiden Persekutuan Tinju Malaysia, Datuk Iruan Zulkefli bersama-sama jurulatih serta atlet tinju negara di Velodrom Nilai, Negeri Sembilan pada Rabu.

Beliau berkata, kelasakan dan komitmen tinggi yang diperlukan dalam sukan tinju membuatkan ia sangat unik dan menarik.

"Mungkin ramai tidak tahu yang sukan tinju ini adalah sukan yang paling saya gemari selepas sukan lumba basikal," catat beliau menerusi Facebook rasminya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu turut berkongsi mengenai sumber motivasinya apabila menjadikan para petinju dunia sebagai penyuntik semangat.

"Di kesempatan itu saya sempat menyampaikan kata-kata motivasi serta perkongsian pengalaman jatuh bangun saya dalam arena sukan ini.

"Saya sempat berkongsi kepada semua yang saya juga kadang kala mengambil sumber motivasi daripada petinju-petinju profesional dunia untuk menjadi bahan bakar ketika diperlukan," katanya.

Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman turut mendoakan kejayaan petinju negara di peringkat antarabangsa.

"Saya doakan agar rakan-rakan petinju negara kita ini akan menggapai kejayaan di peringkat yang tertinggi.

"Bagi saya ianya bukan misi yang mustahil kerana mereka mempunyai bakat yang besar dan tampak kehausan akan kejayaan.

"Ribuan terima kasih diucapkan kerana datang berkunjung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!