Akaun 3 KWSP bantu tambah simpanan persaraan
SHAH ALAM - Cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Akaun 3 dilihat mampu menambah simpanan persaraan ahli.
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, menerusi pengenalan akaun baharu itu, ahli KWSP mempunyai pilihan untuk memindahkan dana simpanan daripada Akaun 3 ke Akaun 1 dan 2.
“Kalau ada pilihan untuk memindahkan simpanan, ia tiada masalah kerana akan menambahkan simpanan terutama bagi persaraan ahli. Namun satu garis panduan khusus perlu dibuat untuk memastikan kedua-dua akaun itu tidak sewenang-wenangnya digunakan dan keutamaan simpanan adalah untuk persaraan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
KWSP sebelum ini dilaporkan bercadang untuk memperkenalkan Akaun 3 yang membolehkan pengeluaran dibuat pada bila-bila masa.
Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, Akaun 3 yang dicadangkan itu akan berfungsi seperti akaun simpanan dan ahli boleh mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa.
Mohamad Fazli yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan, cadangan untuk memperkenalkan Akaun 3 juga diyakini akan menarik minat lebih ramai pekerja tidak formal untuk memiliki simpanan persaraan.
“Dana bagi Akaun 3 yang boleh dikeluarkan bila-bila masa akan mendorong lebih ramai pekerja tidak formal seperti peniaga kecil-kecilan untuk secara sukarela mencarum dan secara tidak langsung mereka akan miliki dana persaraan.
“Mereka tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang, jadi sekurang-kurangnya mereka ada simpanan hari tua,” katanya.
Menurutnya, memandangkan jumlah caruman bagi pekerja tidak formal adalah sukarela, jumlah caruman yang akan dikeluarkan juga berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing dan tidak akan membebankan mereka.
Katanya, pengenalan Akaun 3 dilihat menjadi alternatif terbaik dalam menyediakan dana kecemasan kepada ahli berbanding kaedah Akaun 2 KWSP dijadikan cagaran pinjaman bank.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!