Syed Jamil, perginya seorang tokoh wartawan
KUALA LUMPUR - Awal pagi 1 Ramadan hari ini, pengamal media tempatan dikejutkan dengan berita sedih pemergian seorang wartawan veteran yang disegani, Datuk Syed Jamil Syed Jaafar.
Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang meninggal dunia pada usia 68 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 4.00 pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN).
Syed Jamil, yang berpengalaman luas lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan negara, bukanlah satu nama yang asing dalam kalangan wartawan khususnya bagi warga Bernama. Di bilik berita beliau disegani sebagai editor yang serba berkebolehan dan banyak memberi tunjuk ajar kepada anak buahnya.
Menyingkap perjalanan tokoh kewartawanan itu, beliau yang mesra disapa sebagai 'SJ' pernah berkhidmat selama 38 tahun dengan agensi berita ini.
Anak sulung daripada 10 adik-beradik itu, mula berkhidmat sebagai wartawan kadet di Bernama pada 16 Diembers 1969 dan menjadi Ketua Pengarang pada 1995 seterusnya dilantik sebagai Pengurus Besar bermula 23 Oktober 2000 sebelum bersara wajib pada 2007.
Sehari selepas tarikh persaraannya, beliau dilantik sebagai penasihat Bernama Systems And Solutions Advisor Sdn Bhd (BESSAR), anak syarikat agensi berita nasional itu kerana mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).
Anak kelahiran Kedah itu, turut pernah berkhidmat sebagai penasihat Bernama Radio dan adalah Anggota Tambahan Majlis Penyeliaan Bernama sejak 1 Februari, 2018 hingga 31 Januari, 2019.
Pemergian Allahyarham turut dirasai Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang yang menyifatkan arwah sebagai pemimpin dan rakan paling karib sepanjang 45 tahun pahit manis perkenalan mereka.
Azman berkata, Allahyarham Syed Jamil adalah antara wartawan terawal bertugas di Bernama sejak penubuhannya pada 1969.
"Allahyarham Syed Jamil menyertai Bernama kira-kira setahun selepas Bernama ditubuhkan dan berkhidmat sekian lama sehingga dilantik sebagai Ketua Pengarang dan Pengurus Besar.
"Allahyarham juga pengasas kepada Bernama Radio dan masih menjadi pengarah stesen radio ini pada dua tahun lepas," katanya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Madrasah Tarbiyah, di sini hari ini.
Azman berkata Allahyarham Syed Jamil telah menumpukan seluruh hayat hidupnya untuk memberi khidmat bakti yang cemerlang kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata Syed Jamil banyak membawa kemajuan ke Bernama khasnya dalam kapasiti beliau sebagai pengurus besar, antaranya penubuhan Bernama Radio.
“SJ banyak memberi peluang dan pendedahan dalam pembangunan kerjaya saya. Selain itu, beliau menyediakan barisan pelapis kepimpinan Bernama sebelum beliau bersara.
Jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di madrasah sama.
Allahyarham, yang meninggalkan seorang isteri, Datin Haryani Abdul Hamid, dijangka dikebumi selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!