AFC gesa ahli gabungan patuhi peraturan

Laporan Sukan Sinar pada Selasa. (Gambar kecil: Windsor Paul John)
Laporan Sukan Sinar pada Selasa. (Gambar kecil: Windsor Paul John)
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengingatkan ahli gabungan itu untuk sentiasa menghormati peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan mengutamakan aspek keselamatan pada tahap tertinggi.

Malah Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menegaskan FIFA dan AFC sentiasa menasihati para pemain, pegawai, penonton dan juga persatuan bola sepak kebangsaan mematuhi semua peraturan pertandingan bagi mengelakkan dikenakan hukuman.

“Ya, aspek keselamatan merupakan perkara paling tinggi yang diutamakan FIFA dan AFC baik melibatkan para pemain, pegawai dan para penyokong yang menyaksikan sesuatu perlawanan bola sepak.

“AFC sebagai ahli gabungan juga mendukung penuh ketetapan ditetapkan FIFA dengan memastikan kriteria tersebut sentiasa berada pada tahap tahap tinggi.

“Malah untuk penganjuran kejuaraan tempatan juga AFC percaya ahli gabungan akan memastikan perkara sama akan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Terdahulu, tindakan segelintir penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyalakan suar selepas berakhirnya perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu.

Tindakan menyalakan suar adalah melanggar obligasi penganjuran perlawanan dan bertentangan dengan Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Sebelum ini Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman denda RM40,000 kepada JDT masing-masing dalam dua aksi Liga Super menentang Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC serta satu aksi Piala FA berdepan PDRM FC.

Justeru, terdapat beberapa pihak mencadangkan hukuman beraksi di dalam stadium kosong atau dikenakan pemotongan mata bagi menangani kesalahan sama terus berulang.

Hukuman beraksi di stadium kosong dianggap pengajaran paling berguna buat segelintir penyokong yang terus berdegil melanggar peraturan termasuklah membakar suar dalam stadium.

Sebagai rekod, JDT kendalian Esteban Solari akan mengambil bahagian dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2023 selepas mencipta kelas tersendiri sebelum ini apabila melepasi dalam peringkat kumpulan.

Mengenai tahap disiplin JDT dan para penyokong Harimau Selatan dalam kejuaraan kelab terulung Asia itu, Windsor berkata, “Buat masa ini AFC tidak berdepan masalah perlawanan Liga Juara-Juara Asia membabitkan JDT di venue pasukan itu sejak beberapa musim sebelum ini."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!