UMNO Pulau Pinang mahu tanding enam kerusi

UMNO Pulau Pinang akan bertanding di enam daripada 40 kerusi DUN pada PRN Pulau Pinang 12 Ogos nanti. (Gambar kecil: Musa)
UMNO Pulau Pinang akan bertanding di enam daripada 40 kerusi DUN pada PRN Pulau Pinang 12 Ogos nanti. (Gambar kecil: Musa)
A
A
A

GEORGETOWN - UMNO Pulau Pinang akan bertanding di enam daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 12 Ogos nanti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

“Setakat ini, enam kerusi sah UMNO bertanding di Pulau Pinang iaitu kita akan pertahankan dua kerusi di DUN Permatang Berangan dan DUN Sungai Dua di Parlimen Tasek Gelugor seterusnya bertanding di DUN Penaga dan DUN Bertam di Parlimen Kepala Batas.

“Selain itu, kami akan bertanding di DUN Sungai Acheh di Parlimen Nibong Tebal dan DUN Teluk Bahang di Balik Pulau iaitu satu-satunya kerusi untuk UMNO di bahagian pulau,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, ketika ini UMNO Pulau Pinang sedang mengumpul nama-nama calon yang akan bertanding pada PRN nanti sebelum beliau sendiri menyerahkan nama mereka kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih.

“Tiga nama calon terpilih bertanding bagi setiap DUN akan diserahkan kepada pucuk pimpinan dalam tempoh terdekat ini. Dari segi calon kali ini, kita akan mengemukakan muka baharu dan orang muda terutama dalam kalangan Pemuda UMNO,” katanya.

Musa berkata, calon-calon muda diketengahkan dalam PRN kali ini bagi membawa pembaharuan dan berharap pengundi dapat memberi sokongan kepada UMNO serta gabungan parti-parti Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

“Tumpuan kita di kawasan majoriti Melayu dan dipercayai UMNO dapat memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu lepas telah menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu berjalan serentak pada 12 Ogos nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!