JDT mahu tiga mata untuk bekal semangat

Solari mahu skuad Harimau Selatan raih tiga mata berdepan Kelantan FC. - Foto FB Johor Southern Tigers
Solari mahu skuad Harimau Selatan raih tiga mata berdepan Kelantan FC. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENDAHULU Liga Super, skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam meraih tiga mata berharga pada aksi Liga Super berdepan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, pada Jumaat.

Pengendali skuad Harimau Selatan itu, Esteban Solari berkata, tiga mata berkenaan penting bagi membantu persiapan pasukan menjelang aksi final Piala FA, kelak.

Katanya, biarpun menjangkakan tentangan sengit lawan, namun kesemua pemain diharap bersedia secukupnya bagi mengharungi perlawanan berkenaan hingga ke wisel penamat.

“Kita bakal berdepan Kelantan (FC) di gelanggang lawan dan walau apa pun keadaannya, kita perlu mengekalkan prestasi bagi membawa pulang tiga mata sebagai persediaan untuk perlawanan yang cukup penting, minggu berikutnya (final Piala FA).

“Kita juga akan terus beraksi dengan intensiti tinggi dan ofensif bagi merealisasikan misi tiga mata berkenaan,” katanya menjelang aksi berdepan skuad The Red Warriors (TRW) itu pada Jumaat.

Untuk rekod, JDT menang 5-1 pada aksi pusingan pertama 11 Mac lalu dan ia juga merupakan kali pertama gawang skuad Harimau Selatan itu berjaya dibolosi hasil sepakan penalti pemain import skuad Gomo Kelate Gomo itu, Leonardo Rolon.

Sementara itu Solari berkata, dia berharap agar kesemua pemain cepat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan termasuk keadaan padang sebelum beraksi, Jumaat ini.

Malah, pihaknya juga berharap agar kesemua pemain bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.

“Sebenarnya, kesemua pemain bersedia untuk berlatih, bermain di mana-mana sahaja dan beraksi seperti biasa (offensive) pada perlawanan itu nanti.

“Seperti yang telah diberitahu, kesemua pemain diharap memberikan aksi terbaik masing-masing membawa pulang tiga mata yang diharap-harapkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!