Konvokesyen ke-20 UCAM rai 300 graduan unggul

A
A
A

Muhammad Hanif (tiga dari kanan) gembira di samping ibu bapa dan adik-beradiknya yang hadir meraikannya pada Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20.
Muhammad Hanif (tiga dari kanan) gembira di samping ibu bapa dan adik-beradiknya yang hadir meraikannya pada Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20.

SEREMBAN - Seramai 300 graduan yang mengambil Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Program Eksekutif Lanjutan Kolej Universiti Agrosains Malaysia(UCAM) diraikan pada Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20 pada Selasa.

Majlis bersejarah yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Empat daripada graduan itu menerima anugerah khas iaitu Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Graduan Keseluruhan Terbaik), Anugerah Graduan Akademik (Ijazah Sarjana Muda) Terbaik, Anugerah Graduan Akademik (Diploma) Terbaik dan Anugerah Graduan Ko-kurikulum Terbaik.

Penerima masing-masing iaitu graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian(Kepujian), Mohd Shah Shafiq Hamran, 25; graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian, Muhammad Hanif Shahrin,25; graduan Diploma Perakaunan, Ahmad Zahin Zairimi Kamarudin, 21 dan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan(Pengurusan Pertanian), Fatin Nurizdian Mahamad Johari, 25.

Sementara itu, Mohd Shah yang melalui fasa jerih perih untuk menamatkan pengajiannya tidak menyangka terpilih menerima anugerah tertinggi berkenaan yang disifatkan paling bermakna dalam hidupnya.

Sambung pengajian

Menurutnya, bukan mudah untuk beliau sampai ke tahap itu ditambah pula terpaksa bekerja untuk mengumpul duit bagi menyambung pengajian.

Mohd Shah mengucup isterinya sambil ditemani ibu bapanya yang hadir di Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20 pada Selasa.
Mohd Shah mengucup isterinya sambil ditemani ibu bapanya yang hadir di Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20 pada Selasa.

"Saya bukannya dari keluarga yang senang malah saya diajar untuk melakukan semuanya sendiri dan sebab itu saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Ibu saya orang yang paling banyak berkorban sehingga beliau sanggup keluarkan duit Tabung Haji bagi menampung pengajian di kolej dan ini akan saya ingat sampai bila-bila," katanya kepada Sinar Harian.

Lebih membanggakan anak keempat daripada lima beradik itu kini merupakan usahawan dalam bidang Agroindustri Tanaman secara sepenuh masa bermula Ogos 2022.

Malah beliau juga mampu mengaji lima pekerja dan memperoleh pendapatan dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

"Pada awalnya saya sertai pertanian berkelompok dan kini saya usahakan sendiri di tanah seluas 10 ekar di Batu Kikir, Jempol dengan menanam sayur-sayuran.

"Mungkin untuk jangka masa panjang saya berhasrat untuk buka kilang makanan pula, "katanya.

Jelas Mohd Shah, beliau sememangnya meminati bidang pertanian kerana menyifatkannya sebagai 'rare' ditambah pula hanya terdapat empat buah kolej pertanian di negara ini.

Katanya, disebabkan itu, beliau berasa rugi sekiranya tidak merebut peluang itu.

"Bagi saya bidang ini luas dan kalau lihat pun negara kita lebih banyak mengimport makanan, kenapa kita sendiri tidak keluarkannya sendiri," katanya.

Hadiah istimewa

Muhammad Hanif (tiga dari kanan) gembira di samping ibu bapa dan adik-beradiknya yang hadir meraikannya pada Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20.
Muhammad Hanif (tiga dari kanan) gembira di samping ibu bapa dan adik-beradiknya yang hadir meraikannya pada Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20.



Muhammad Hanif yang merupakan anak pekebun kecil RISDA berkata, anugerah itu menjadi hadiah istimewa buat kedua ibu bapanya yang tidak pernah jemu memberinya semangat dalam pelajaran.

Katanya, beliau memilih UCAM kerana tertarik dengan kos ditawarkan selain turut mendapat galakan daripada senior pusat pengajian itu yang tinggal di kampungnya.

"Saya berminat dengan kos ditawarkan kerana mendapati skop kerja ia agak luas dan Alhamdulillah saya kini sudah pun bekerja dengan RISDA sebagai Penolong Pegawai Kawasan.

"Jadi kenapa saya nak fikir bidang lain lagi sedangkan kos pertanian ini sememangnya kebolehpasarannya tinggi,"katanya.

Anak kedua dari empat beradik ini yang merupakan anak kelahiran Bukit Selambau, Kedah turut mempunyai hasrat untuk mempunyai tanaman pertanian sendiri suatu hari nanti.

Selain itu, Ahmad Zahin Zairimi berkata, aspirasi kejayaannya hari ini adalah berkat daripada ibu bapa dan rakan-rakan seperjuangannya yang sentiasa memberi sokongan.

Ahmad Zahin ditemani adik beradiknya.
Ahmad Zahin ditemani adik beradiknya.

"Kejayaan saya bukan datang dari titik peluh saya tetapi hasil doa orang sekeliling saya.

"Doa saja tidak cukup jika tiada usaha bersungguh-sungguh dan saya juga berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah," ujarnya.

Malah katanya, beliau juga mahu mengubah persepsi terhadap UCAM yang dianggap tidak mempunyai masa depan.

Sementara itu, Fatin Nurizdian berkata, walaupun bergiat aktif dalam pelbagai bentuk aktiviti dan program di kolejnya, namun beliau tidak pernah mengabaikan pelajarannya.

Fatin Nurizdian menunjukkan ijazah yang diterimanya kepada ibu bapa selepas majlis konvokesyen tersebut.
Fatin Nurizdian menunjukkan ijazah yang diterimanya kepada ibu bapa selepas majlis konvokesyen tersebut.

Baginya, peluang berada di pusat pengajian bukan semata-mata untuk mendapat segulung ijazah, tetapi dapat meningkatkan pengetahuan dan produktivitinya sebagai seorang pelajar.

"Bagi saya komitmen saya dengan aktiviti kokurikulum juga dapat membantu menjadi pelajar cemerlang dan berdisiplin.

"Pentingnya sebagai pelajar kita perlu fleksibal antara akademik dan kokurikulum," katanya.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!