Isu Fushima: Menteri luar Korea Selatan, Jepun akan berunding
JAKARTA - Menteri Luar Korea Selatan dan Jepun akan mengadakan rundingan dua hala pada Khamis mengenai rancangan Tokyo untuk melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji Fukushima, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pertemuan yang dirancang antara Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin dan rakan sejawatannya dari Jepun, Yoshimasa Hayashi di Jakarta itu susulan sidang kemuncak dua hala antara pemimpin kedua-dua negara yang berlangsung sehari sebelum itu di Lithuania.
Pada sidang kemuncak yang berlangsung di Vilnius, Lithuania, di luar sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol meminta Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida supaya turut melibatkan pakar Korea Selatan bagi memantau pelepasan air yang dirancang itu.
Dalam mesyuarat menteri-menteri yang diadakan di luar mesyuarat peringkat tinggi yang diketuai ASEAN, Park dijangka mengulangi permintaan Yoon kepada Jepun itu yang turut menggesa pelepasan itu dihentikan serta-merta jika kepekatan bahan radioaktif dalam air melebihi paras piawaian.
Park dan Hayashi dijangka turut mengecam provokasi peluru berpandu balistik terbaru Korea Utara, sehari sebelum mesyuarat anjuran ASEAN, dan menegaskan semula mengenai pentingnya kerjasama antara kedua-dua negara dan kerjasama tiga hala yang melibatkan Amerika Syarikat dalam menangani isu nuklear Korea Utara. - Bernama-Yonhap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!