Tukang proses ayam dipenjara lima bulan miliki ketum

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA PILAH - Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman lima bulan penjara ke atas seorang tukang memproses ayam pada Khamis selepas mengaku salah memiliki air dan daun ketum pada April lalu.

Tertuduh, Nazarudin Alias, 49, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dalam pengetahuan dan kawalannya bersama dua botol plastik lut sinar yang berisi cecair disyaki air ketum seberat 2.8 liter dan satu beg plastik berwarna di dalamnya terdapat daun ketum seberat 226 gram.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11 malam bertempat di sebuah rumah di Kampung Sawah Lebar di sini 7 April lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua- duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, polis telah membuat serbuan dalam Ops Tapis di lokasi berkenaan dan memeriksa di bahagian dapur rumah tersebut bertempat di atas lantai dapur telah menjumpai satu beg plastik di dalamnya terdapat dedaun hijau disyaki daun ketum.

Kemudian, pemeriksaan di sebuah peti sejuk yang berada di ruang tamu rumah sama menjumpai di dalamnya dua botol plastik lut sinar setiap satunya berisi cecair disyaki air ketum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!