5 anggota polis Pulau Pinang direman kes minta rasuah

Empat anggota polis dari Balai Polis Sungai Bakap ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung rasuah membabitkan RM1,000.
Empat anggota polis dari Balai Polis Sungai Bakap ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung rasuah membabitkan RM1,000.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat anggota polis berpangkat lans koperal dan koperal direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah daripada seorang individu di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan.

Keempat-empat anggota dari Balai Polis Sungai Bakap itu didakwa telah meminta wang RM1,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan berhubung rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan ujian saringan dadah.

Koperal tersebut berusia 31 tahun, manakala tiga lans koperal berusia 26, 30 dan 33 tahun direman sehingga 17 Julai.

Kesemua mereka ditahan sepasukan anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang dalam operasi perangkap pada Rabu.

Mengikut sumber SPRM, keempat-empat anggota polis itu telah menahan seorang lelaki di sekitar kawasan parkir kereta Pangsapuri Sungai Bakap pada jam 2 pagi, 3 Julai lalu.

Salah seorang daripada mereka telah meminta wang rasuah berjumlah RM1,000 daripadanya dan kesemua anggota polis berkenaan telah bersetuju untuk menerima wang rasuah pada 12 Julai.

Lanjutan daripada aduan, satu operasi perangkap telah dijalankan dan berjaya menahan keempat-empat anggota berkenaan selain merampas wang perangkap tersebut.

Keempat-empat anggota berkenaan tidak diwakili peguam.

Anggota berpangkat sarjan yang bertugas di IPD Timur Laut direman empat hari untuk membantu kes rasuah membabitkan RM2,500.
Anggota berpangkat sarjan yang bertugas di IPD Timur Laut direman empat hari untuk membantu kes rasuah membabitkan RM2,500.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret Georgetown selepas permohonan reman dilakukan SPRM.

Dalam kes berlainan, seorang anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut direman empat hari untuk membantu siasatan berhubung rasuah bernilai RM2,500.

Anggota polis berusia 30 tahun tersebut didakwa meminta wang tersebut bagi menyelesaikan kes berkaitan narkotik pada jam 4.30 petang, 11 Julai lalu.

Suspek diwakili peguam Md Yusuf Md Idris.

Mengikut sumber SPRM, pada tarikh tersebut seorang orang awam telah berjumpa dengan anggota polis tersebut berhubung kes melibatkan adik kandungnya yang terlibat dengan kes dadah.

Suspek meminta wang tersebut sebagai balasan untuk menyelesaikan kes ujian saringan air kencing yang sedang disiasat oleh suspek.

Suspek ditahan pada 12 Julai bersama wang yang diminta dalam operasi perangkap oleh SPRM.

Nur Melati mengeluarkan perintah reman bermula Rabu hingga 16 Julai ini selepas permohonan dilakukan SPRM.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!