Amaran hujan berterusan di tiga negeri hingga Sabtu
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap waspada di tiga negeri mulai hari ini hingga Sabtu (15 Julai).
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga negeri yang dijangka mengalami hujan berterusan itu ialah Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Di Sarawak, kawasan terjejas adalah di Limbang manakala di Sabah kawasan terlibat adalah di pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Beluran) dan Kudat," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan pada jam 11.30 pagi ini.
Dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia memaklumkan amaran hujan berterusan tahap waspada di tiga negeri itu dikeluarkan susulan analisis model cuaca mendapati terdapat sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di barat Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat laut, menuju ke selatan China.
"Keadaan itu berpotensi menyebabkan peningkatan kelajuan dan penumpuan angin baratan di perairan barat Sabah dan utara Sarawak hingga 20 Julai," menurut kenyataan itu.
Katanya ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang juga berpotensi berlaku di negeri utara Semenanjung dalam tempoh 16 hingga 18 Julai.
Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Phuket, Samui dan Laut China Selatan, berkuat kuasa 14 hingga 20 Julai.
"Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih," kata MetMalaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!