Kontraktor didenda RM6,000 kerana pukul anjing
KUALA LUMPUR - Akibat membaling kasut serta memukul seekor anjing jantan baka ‘Rottweiller’ menggunakan penyodok besi, seorang kontraktor didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Tang Shu Maw, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan pilihan, Tang didakwa dengan kejamnya memukul seekor anjing jantan berwarna hitam miliknya di Taman Tayton View, Cheras, pada 9.30 malam, 18 November 2018.
Dia dituduh mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebih satu tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Pramjit Singh yang mewakili Tang memohon denda minimum atas alasan anak guamnya telah menyesal serta tidak berniat melakukan perbuatan itu.
“Tindakan itu berlaku kerana anjing tersebut telah menggigit kasut OKS menyebabkan anak guam saya telah membaling kasut ke lantai namun terkena ke arah anjing itu.
“Niat anak guam saya hanya untuk mendisiplinkan anjingnya bukan niat mencederakan anjing itu. Anjing itu juga tiada kecederaan malah mempunyai selera makan yang baik,” katanya.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Hasiah Musa memohon hukuman setimpal kerana mendidik seekor anjing memerlukan teknik-teknik khas.
“Sebagai seorang pemilik anjing bukan hanya sekadar menjaga makan dan minum sahaja, tetapi kasih sayang dan menganggap anjing adalah ahli keluarga sendiri.
“Maka alasan untuk mendidik atau mengajar tidak boleh digunakan kerana untuk mendidik memerlukan teknik-teknik khas supaya tidak mendatangkan bahaya ke atas anjing itu,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian seekor anjing jantan baka ‘Rottweiller’ telah diperlakukan tidak sewajarnya oleh pemiliknya dan rakaman video yang dibuat oleh orang awam, mendapati Tang telah melakukan perbuatan memukul, membaling kasut serta menghayun satu penyodok besi terhadap seekor anjing jantan milik OKS.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!