419 individu ditahan dalam Ops Tapis Khas Se-Malaysia di Pahang
KUANTAN - Polis menggempur 20 sarang dan 30 lokasi 'hotspot' penagihan dadah di negeri ini dalam Ops Tapis Khas Se-Malaysia yang dijalankan pada Isnin hingga Rabu lalu.
Hasil operasi selama tiga hari itu, seramai 419 individu disyaki penagih dadah berusia 18 hingga 60 tahun berjaya ditahan termasuk 17 wanita.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, 43 orang daripada keseluruhan yang ditahan disyaki tokan dadah dan sembilan lagi merupakan individu dikehendaki.
Menurutnya, hasil operasi melibatkan 18 pegawai dan 159 anggota itu, polis turut menemui pelbagai jenis dadah termasuk 146.32 gram syabu, heroin (561.16 gram), ganja (21.97 gram), eremin 5 (74.01 gram), pil yaba (141.11 gram), daun ketum (91.4 kilogram) dan air ketum (756.62 liter) dengan anggaran nilai lebih RM64,000.
"Turut rampas, tiga kenderaan dan sejumlah wang tunai dengan jumlah nilai keseluruhan barang rampasan dan sitaan mencecah lebih RM101,000," katanya pada sidang akhbarnya di bilik media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.
Yahaya berkata, daripada keseluruhan individu yang ditahan sepanjang ops tapis khas itu, 13 orang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) (4 orang), Seksyen 39A(1) (26 orang), Seksyen 12(2) (50 orang), Seksyen 6 (5 orang), Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (36 orang), Seksyen 15(1)(a) (285 orang) dan Seksyen 39C (1 orang).
Beliau berkata, tumpuan pada operasi yang dilaksanakan di seluruh daerah itu tertumpu di kawasan bandar, perumahan dan tanah rancangan Felda.
"Polis Pahang memandang serius perkara ini dan tindakan berterusan akan diambil bagi membanteras aktiviti pengedaran serta penagihan dadah di negeri ini.
"Orang ramai digesa tampil bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Pusat Kawalan Kontinjen Pahang di talian 09-5051999/2202 dan hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang (09-5052287) atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!