Pernas perlu dikekalkan di bawah Kuskop - Ewon

Ewon Benedick - Foto Bernama
Ewon Benedick - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) akan terus kekal di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) seperti yang telah diputuskan oleh kabinet awal tahun ini, kata menteri berkenaan, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, siri perbincangan Kuskop bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Disember tahun lepas menyatakan Pernas akan terus kekal di bawah Kuskop.

"Oleh itu, keputusan meletakkan Pernas sebagai agensi di bawah Kuskop telah diwartakan dan diputuskan dalam mesyuarat kabinet awal tahun ini dan saya percaya keputusan itu harus kekal.

"Bagaimanapun, sekiranya ada hasrat KPDN untuk berbincang lebih lanjut, Kuskop sedia berjumpa dan menyatakan pandangan kita sepertimana yang telah kita nyatakan pada pertemuan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul di sini hari ini.

Pada 7 Julai, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, KPDN sedang berusaha mengembalikan Pernas di bawah seliaan kementerian itu bagi mengurangkan kecelaruan dalam penyelarasan industri francais.

Menurut Salahuddin, buat masa ini akta berkaitan francais termasuk pendaftaran berada di bawah seliaan KPDN manakala latihan dan bimbingan berkaitan pembangunan francais di bawah kuasa Kuskop.

Ewon berkata kedua-dua kementerian harus memfokuskan kepada fungsi dan perkhidmatan masing-masing dalam membangunkan industri francais.

Sementara itu, projek pembangunan The Jardin Sentul adalah projek usaha sama Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Bhd (KPSPB) dan Menarez Development Sdn Bhd.

The Jardin Sentul adalah sebuah blok 29 tingkat Residensi Wilayah yang mempunyai 322 unit kediaman pada harga RM300,000.

Projek dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM120 juta itu akan mula dilaksanakan pada Oktober tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!