MAMPAN25 dilancar sebagai hala tuju baharu LTAT

Mohamad melancarkan MAMPAN25 sebagai hala tuju baharu LTAT di The Bousteador, Mutiara Damansara hari ini. - Foto Bernama
Mohamad melancarkan MAMPAN25 sebagai hala tuju baharu LTAT di The Bousteador, Mutiara Damansara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25) dilancarkan sebagai hala tuju baharu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam menghadapi cabaran ekonomi, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ia juga disasar melindungi kebajikan sosial para pencarum dan menjadi pemangkin transformasi ke arah sebuah kumpulan wang simpanan mampan.

Katanya, MAMPAN25 mempunyai empat teras yang terdiri daripada Pertumbuhan, Ketahanan, Impak dan Kepercayaan; dengan berlatar belakang komitmen untuk mengurus wang persaraan anggota tentera dengan lebih baik.

"Ia sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dilakukan dengan terbaik, dan dalam keadaan dunia yang berubah begitu cepat dan drastik, maka dalam dunia korporat kita tidak boleh statik.

"Kita perlu reposition ourselves, perlu melihat semula teras perniagaan dan struktur organisasi kita agar relevan dan boleh bersaing dalam arus perdana," katanya selepas melancarkan MAMPAN25 sebagai hala tuju baharu LTAT di The Bousteador Mutiara Damansara di sini hari ini.

Mohamad berkata, ini juga bagi memastikan LTAT dan anak-anak syarikat terus teguh beroperasi dan pada masa yang sama, meneguhkan komitmen untuk memberikan pulangan dividen yang mantap kepada anggota tentera yang mencarumkan wang persaraan mereka.

Beliau berkata, pihaknya meneliti perjalanan LTAT bersama anak-anak syarikatnya sehingga kini bagi memastikan ia terus utuh memelihara kebajikan anggota tentera sebagaimana yang termaktub di dalam teras Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Sementara itu Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman yang ditemui di majlis pelancaran berkata MAMPAN25 adalah bukti ketersediaan LTAT untuk maju ke fasa pertumbuhan yang seterusnya.

"Kami telah mengukuhkan asas kami melalui beberapa pencapaian penting termasuk pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 yang memperuntukkan kerangka pelaburan dan tata kelola yang utuh, penghasilan pelbagai garis panduan dan dasar serta menyelesaikan pelbagai isu legasi termasuk pengambilalihan set Game Changer kami iaitu Boustead," katanya.

Beliau berkata, MAMPAN25 akan membawa LTAT untuk melangkah ke hadapan secara menyeluruh dan bersepadu untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan cara yang terbaik bagi memenuhi keperluan pemegang kepentingan organisasi.

Nazim berkata, visi dan misi baharu yang disokong oleh pelbagai sasaran dan strategi akan memacu LTAT ke arah prestasi kewangan yang mampan dan mewujudkan impak positif yang berpanjangan kepada pencarum iaitu anggota Angkatan Tentera Malaysia yang seterusnya akan memacu LTAT menjadi sebuah organisasi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!