KSM sasar capai 90 peratus IHI
IPOH - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan untuk mencapai sehingga 90 peratus bagi Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI) negara pada masa akan datang.
Menterinya, V Sivakumar berkata, pada tahun 2022, IHI kebangsaan mencatatkan 78.9 peratus dengan Perak merupakan yang tertinggi iaitu 82.6 peratus berbanding negeri lain.
Jelas beliau, penilaian IHI tersebut dilakukan sepanjang masa dan laporan akan dikeluarkan setiap dua tahun untuk memastikan hubungan pekerja dengan majikan dalam keadaan baik.
"Kita lihat di negeri Perak kita dah capai 82.6 peratus. Menjadi harapan saya kalau indeks ini dapat kita tingkatkan kepada tahap yang lebih tinggi sekurang-kurangnya mencapai tahap cemerlang kepada 90 peratus. Itu adalah suatu yang baik.
"Tapi daripada analisis yang kita buat setiap tahun, skor ini memang meningkat setiap kali kita buat kajian," katanya kepada pemberita ketika merasmikan Program Simposium Keharmonian Perusahaan Negeri Perak Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Hadir sama pada program itu, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan; Setiausaha Bahagian Dasar KSM, S Siva Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan, Khalid Jali dan Pengarah Perhubungan Perusahaan Perak, G Ramakrishna.
Sivakumar berkata, bagi sektor pekerjaan pula, perladangan dan pertanian berada pada tangga paling atas mengatasi sektor lain untuk IHI berkenaan
Terdapat lima elemen penting yang diukur dalam menentukan IHI iaitu kerjasama antara pekerja dengan majikan pendidikan, hubungan yang saling berdamai, bertanggungjawab, keterhubungan dan hubungan yang saling memupuk.
Sementara itu, beliau menjelaskan Simposium Keharmonian Perusahaan yang dijalankan bertujuan memastikan hubungan baik pihak majikan dan pekerja berterusan.
"Ini adalah penting untuk kita memastikan produktiviti negara akan terus meningkat sebab produktiviti adalah satu komponen yang sangat-sangat penting untuk memastikan kemantapan ekonomi negara kita.
"Jadi hubungan di antara majikan dan pekerja adalah sangat penting dan simposium pada hari ini lebih memfokuskan kepada aspek perundangan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 110 syarikat di Perak menghantar wakil masing-masing mengikuti program tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!