KPDN nafi harga barang naik mendadak

Fuziah (dua dari kiri) menyerahkan simbolik Program Rintis Bantuan Tanpa Tunai kepada salah seorang penerima pada Program Outreach Sara Hidup dan Aduan Suri di Hotel De Palma pada Khamis.
Fuziah (dua dari kiri) menyerahkan simbolik Program Rintis Bantuan Tanpa Tunai kepada salah seorang penerima pada Program Outreach Sara Hidup dan Aduan Suri di Hotel De Palma pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan berhubung kenaikan melampau harga barang di pasaran.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, harga barang pada masa ini masih terkawal dan inflasi berada pada kadar lebih rendah.

"Kadar inflasi mereda dan jika dilihat pada bulan Mei indeks harga pengguna mencatatkan 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada April," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Outreach Sara Hidup dan Aduan Suri di Hotel De Palma di sini pada Khamis.

Fuziah berkata, kementeriannya sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dari segi subsidi dan mengawal harga barang.

Jelas beliau, sebanyak 11 barangan di bawah kawalan KPDN masih dikekalkan harga dan tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Kita tidak dapat mengawal semua harga barang, tetapi boleh menggunakan akta supaya barang tidak dijual terlalu mahal.

"Misalnya, kita kawal harga gula rakyat yang dijual RM2.85 sen sekilogram walaupun pengeluar gula mengadu mereka rugi setiap sekilogram gula yang dijual.

"Bagaimanapun, kita tetap kekalkan harga tersebut sebab mengetahui rakyat dalam keadaan susah," tambah beliau.

Beliau memberitahu, bagi menangani kos sara hidup, kerajaan sedang berusaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Ujar beliau, pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat sekali gus menangani kemiskinan dalam negara.

"Buat masa ini kerajaan masih kawal (harga barang) kerana kita tahu rakyat sedang susah sementara kita berusaha meningkatkan pendapatan rakyat," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan jamin tiada kenaikan harga barang melampau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!