PRN: Lebih 300 sekolah di Negeri Sembilan jadi pusat mengundi
SEREMBAN - Sebanyak 334 sekolah di Negeri Sembilan akan dijadikan sebagai pusat mengundi bagi pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Dr Roslan Hussin berkata, pihaknya juga memberi kelulusan untuk pejabat-pejabat pendidikan daerah (PPD) sebagai pusat penamaan calon.
"Ia melibatkan lima PPD dan beberapa pegawai pendidikan turut menjadi ketua pusat mengundi dan pegawai pengurus bagi pilihan raya ini.
"Selain itu, lebih 200 kakitangan pendidikan terlibat dalam membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula dengan hari penamaan calon sehingga hari mengundi," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan STPM di Kolej Tingkatan Enam di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya akan bekerjasama penuh dengan SPR sebagaimana yang dilakukan sebelum ini untuk kelancaran PRN.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah di enam negeri yang bakal dijadikan pusat mengundi pada PRN kini dalam keadaan siap sedia.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan ( PH) Negeri Sembilan berkata, calon yang bakal bertanding dalam PRN ini masih belum dimuktamadkan setakat ini.
"...Mungkin minggu hadapanlah diputuskan senarai calom, umum (pengumuman calon) belum lagi, itu tugas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Ditanya sama ada terdapat mana-mana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan untuk tidak bertanding, Aminuddin memberitahu tidak pasti mengenai perkara itu.
"Saya tidak tahu... Apabila kita menjadi kerajaan orang susah nak berundur. Biasalah, adat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!