Op Pintas: Bayi lelaki antara 26 PATI ditahan

Mohammad Shofee menunjukkan ahli sindiket penyeludupan migran 'Geng Som Hendra' yang berjaya ditumpaskan menerusi Op Pintas pada Isnin.
Mohammad Shofee menunjukkan ahli sindiket penyeludupan migran 'Geng Som Hendra' yang berjaya ditumpaskan menerusi Op Pintas pada Isnin.
A
A
A

PONTIAN - Sindiket penyeludupan migran 'Geng Som Hendra' yang menjadikan perairan daerah ini sebagai laluan keluar masuk, tumpas selepas 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun ditahan dalam Op Pintas pada Isnin.

Penahanan dibuat hasil serbuan di empat lokasi di daerah ini dan Kulai yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Kukup.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, penahanan turut membabitkan seorang tekong darat, tiga tekong laut dan seorang penjaga rumah penampungan masing-masing berusia 25 hingga 45 tahun.

"Kesemua 26 PATI itu terdiri daripada 19 lelaki, enam wanita dan seorang bayi lelaki berusia setahun. Dua buah kereta, sebuah bot, 12 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,800 turut dirampas.

“Kegiatan penyeludupan migran ini dipercayai aktif sejak Jun lepas, di mana setiap mereka yang mahu keluar dari negara ini dari jalan yang tidak diwartakan perlu membuat bayaran antara RM2,000 hingga RM3,700 seorang.

"Sindiket akan mengumpul serta menempatkan sementara migran yang hendak diseludup keluar dari negara ini di sebuah premis kedai di Kulai sebelum di hantar ke lokasi pendaratan bot di pesisir pantai di Pontian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohammad Shofee berkata, kesemua mereka ditahan reman sehingga 6 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A, 26 F dan 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!