KSM guna kaedah terbaik pastikan majikan patuhi Akta 446
IPOH - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menggunakan kaedah terbaik dalam memastikan keperluan penginapan minimum bagi pekerja asing di negara dipatuhi.
Menterinya, V Sivakumar berkata, semua inisiatif telah dilaksanakan kementerian bagi memastikan peruntukan di bawah Akta 446 berkaitan penginapan minimum terutama kepada pekerja asing itu dilaksana majikan.
Jelas beliau, biarpun berdepan beberapa masalah untuk melaksanakannya, pihak kementerian yakin ia dapat diselesaikan.
"KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja sentiasa mengadakan operasi ke tempat-tempat penginapan ini untuk memastikan bahawa majikan menyediakan tempat penginapan yang sesuai. Tetapi pada masa yang sama kita juga sedang merancang kaedah lain untuk membuat penempatan di kawasan perkilangan supaya masalah ini dapat kita selesaikan dalam tempoh terdekat.
"Banyak lagi inisiatif-inisiatif yang diambil oleh pihak kementerian bagi memastikan penginapan yang diberikan kepada pekerja ini berada pada tahap ataupun keadaan yang baik," katanya kepada pemberita ketika merasmikan Program Simposium Keharmonian Perusahaan Negeri Perak Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Hadir sama pada program itu, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan; Setiausaha Bahagian Dasar KSM, S Siva Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan, Khalid Jali dan Pengarah Perhubungan Perusahaan Perak, G Ramakrishna.
Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 menguatkuasakan kehendak dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh majikan berkaitan penyediaan perumahan dan penginapan serta kemudahan kepada pekerja.
Penguatkuasaan ini bertujuan memastikan majikan menyediakan tempat tinggal yang mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan.
Selain itu, penguatkuasaan ini juga bertujuan mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat, bersih dan kondusif.
ARTIKEL BERKAITAN:
KSM sasar capai 90 peratus IHI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!