Hina Sultan: AMK Selangor buat laporan polis
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Ketuanya, Izuan Kasim berkata, kenyataan yang dilakukan oleh Muhammad Sanusi ketika ucapan dalam ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) itu disifatkan sebagai melampau dan menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum).
"Seperti yang sedia maklum, Perdana Menteri ada umum, Ketua Polis Negara (KPN) pun ada beritahu untuk ahli-ahli politik ini tidak menyentuh 3R, tetapi Sanusi ini masih menyentuh isu 3R.
"Saya ingat Sanusi ini sudah berada di tahap yang melampau sebab beliau hadir di Selangor, beri ceramah, selepas itu dia mengutuk Sultan Selangor.
"Jadi sebagai rakyat Selangor, kalau rasa tidak boleh menghormati raja kami, duduk sahaja di Kedah, jangan sibuk datang sini tiap-tiap minggu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Seksyen 9 pada Khamis.
Ujar beliau, pemimpin besar seperti Muhammad Sanusi sepatutnya mula berfikir apa yang patut ditawarkan kepada rakyat menjelang pilihan raya bukan menyentuh isu-isu 3R.
Tambahnya, sehingga malam ini, dijangka lebih kurang 35 laporan polis akan dibuat di peringkat cabang AMK.
"Saya ingat kita nak menghadapi pilihan raya negeri (PRN) ini, kita cerita soal dasar, polisi kerajaan atau kalau jadi kerajaan, apa yang perlu dibuat.
"Saya ingat pihak polis boleh mengambil siasatan dan memanggil Sanusi untuk disiasat.
"Saya mewakili AMK Selangor dan rakan-rakan membuat laporan pada hari ini dan insya-ALLAH akan banyak lagi laporan polis yang akan dibuat daripada setiap AMK di 22 cabang-cabang, tidak campur lagi badan bukan kerajaan (NGO)," ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular dipercayai ketika menyampaikan ceramah, Muhammad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu juga dilaporkan berkata, beliau yakin negeri diterajuinya mampu menjadi paling maju sekiranya ia berada berhampiran Kuala Lumpur.
Muhammad Sanusi juga mendakwa Selangor tidak boleh dijadikan model negeri Pakatan Harapan (PH) paling berjaya kerana pemerintahan yang bijak.
ARTIKEL BERKAITAN:
'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin
Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi
"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid
'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!