Dua individu rugi lebih RM680,000 terpedaya pelaburan saham
SEREMBAN - Dua individu mengalami kerugian lebih RM680,000 selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang menawarkan keuntungan dua hingga lima peratus sebulan oleh sebuah syarikat.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian pada Mac lalu.
"Berikutan itu, dua suspek iaitu pemilik akaun bank masing-masing merupakan seorang lelaki berusia 44 beralamat di Kuala Lumpur dan seorang wanita juga berusia 44 tahun beralamat di Sabah yang dipercayai terbabit dengan pelaburan itu ditahan 12 Mac lepas.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis sedang mengesan suspek-suspek yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, laporan pertama dibuat pada 2 Mac lalu di Port Dickson oleh seorang lelaki berusia 71 tahun yang berurusan melalui Facebook serta WhatsApp sebelum membuat bayaran ke dua akaun sebanyak RM550,000.
"Laporan kedua pula pada 3 Mac lalu dibuat di Seremban oleh seorang wanita berusia 49 tahun yang berurusan melalui Instagram dan WhatsApp dengan membuat pembayaran ke lima akaun sebanyak RM132,688," katanya.
Ahmad Dzaffir berkata, setakat ini sebanyak 25 laporan telah diterima di seluruh Malaysia membabitkan modus operandi sama dengan kerugian mencecah RM4.2 juta.
"Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan yang tinggi atau tidak masuk akal.
"Semak pendaftaran syarikat terbabit dengan pihak berkuasa sama ada polis atau Bank Negara Malaysia (BNM). Sekiranya menyedari ditipu, segera hubungi hotline National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!