PRN Kedah: BN pertaruh lebih ramai muka baharu

 Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) Kedah mempertaruhkan lebih ramai calon muka baharu untuk bersaing dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi menawan kembali hati pengundi.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah itu melebihi daripada kuota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan tidak lagi tertakluk kepada senioriti.

Menurutnya, biarpun masih di peringkat perbincangan kepimpinan tertinggi parti, dianggarkan lebih 30 peratus calon PRN adalah dalam kalangan muka baharu.

“Kita akan tampilkan gabungan muka baharu dan muka lama tetapi secara keseluruhan lebih ramai muka baharu. Boleh dikatakan melebihi 30 peratus atau lebih daripada PRU sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar di sini pada Khamis.

Beliau berkata, proses pemilihan calon turut mengambil kira faktor penerimaan calon yang boleh diterima oleh ahli parti mahupun pengundi di setiap kawasan ditandingi.

“Kita ambil kira semua faktor dalam memilih calon, pastinya yang boleh memberi kemenangan. Paling penting adalah rakyat suka kepada calon itu. Kalau parti suka, rakyat pun suka apabila bercampur dua aspek itu, saya percaya calon itu berpeluang menang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, tidak mustahil calon kitar semula akan turut memeriahkan saingan PRN asalkan berpotensi memberi kemenangan kepada gabungan BN-PH.

“Senarai calon sudah dihantar kepada presiden parti untuk lakukan tapisan. Paling lewat pun selesai dimuktamadkan dalam minggu ini.

“Tiga nama dihantar bagi setiap kawasan, kepimpinan parti akan buatlah proses yang sepatutnya kepada senarai nama itu, sebelum diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerusi tunggal yang masih dalam rundingan di Kedah, Mahdzir percaya ia sudah dimuktamadkan di peringkat jawatankuasa pimpinan pusat dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.

“Saya yakin rundingan sudah selesai, sebab negeri sudah serahkan kepada kepimpinan pusat. Perlu tunggu pengumuman sahaja. PH atau BN akan terima dengan hati terbuka,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kerusi DUN Suka Menanti masih dalam rundingan antara UMNO dan PKR, memandangkan kerusi berkenaan pernah dimenangi tokoh ternama kedua-dua parti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!