Isu MB Kedah: Altimet kongsi makna Melayu

Altimet memilih untuk berkongsi makna sebenar Melayu.
Altimet memilih untuk berkongsi makna sebenar Melayu.
A
A
A

AMPANG - Penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali Altimet memilih untuk berkongsi makna sebenar Melayu sebagai reaksi terhadap isu membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memperlekehkan institusi diraja Selangor.

Altimet yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang telah berkongsi tulisan Datuk Zainal Abidin Borhan daripada Yayasan Karyawan dalam karya Adat dan Tatasusila Melayu dari Perspektif Agung - Adat Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, di dalam Adat Istiadat Raja-Raja Melayu tersebut terdapat satu fasal yang menyentuh Fasal Mulanya Nama Melayu.

"Fasal itu menyatakan, erti Melayu ini adalah ia melayukan dirinya iaitu yang diibaratkan orang dahulu kala daripada erti Melayu, adalah seumpama pucuk kayu yang melayukan dirinya dan bukan layunya itu kerana kena panas atau api.

"Ia membawa makna merendahkan diri dan tidak mahu membesarkan diri, baik daripada adab tertib, bahasa atau adab makan minum dan perjalanan serta kedudukannya sama ada di dalam majlis atau pada tempat yang lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, fasal itu jelas menyentuh ciri, sifat keperibadian atau perwatakan orang Melayu yang beradab dan berakhlak.

"Persepsi pengarang iaitu Melayu. Kapitan Zainauddin terhadap watak unggul Melayu itu terpancar ke dalam maksud bahawa Melayu itu sama ada rajanya, pembesarnya dan orang kebanyakan sekali pun beradat, beradab, berakhlak dan beretika.

"Sesuai dengan dengan maksud tersebut terdapat satu konsep yang sudah sebati dengan Melayu, malah sudah merupakan falsafah dan ideologi Melayu yang mendasari kemelayuan iaitu budi," ujarnya.

Nama Muhammad Sanusi hangat diperkatakan susulan kandungan ceramah yang didakwa meremehkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan urusan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ucapan Muhammad Sanusi itu telah dimuat naik di banyak saluran media sosial seperti Youtube, TikTok, Facebook serta Twitter.

Susulan itu, beberapa laporan polis telah dibuat mendesak Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN disiasat dan diambil tindakan tegas.

Dalam pada itu, PKR Ampang turut membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi di IPD Ampang Jaya pada petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin

Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi

"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid

'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'

Hina Sultan: AMK Selangor buat laporan polis

Hina Sultan: Pihak berkuasa perlu buka kertas siasatan terhadap Sanusi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!