PRN Selangor: Amanah ganti BN di Hulu Bernam

Abdul Mun'im
Abdul Mun'im
A
A
A

HULU SELANGOR - Parti Amanah Negara (Amanah) menggantikan Barisan Nasional (BN) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos depan.

Ketua Pemuda Amanah Hulu Selangor, Abdul Mun'im Roslin berkata, pihaknya berterima kasih atas kepercayaan pimpinan Amanah peringkat negeri dan pusat serta BN khususnya UMNO dalam mencapai kata sepakat mengenai keputusan tersebut.

"Perkembangan ini merupakan satu titik tolak yang akan mengukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja berpasukan dalam Kerajaan Perpaduan sekali gus memberi lonjakan sokongan kepada gabungan PH-BN di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, katanya, Amanah Hulu Selangor berusaha sedaya upaya mengerahkan seluruh kekuatan dengan sokongan rakan parti dalam gabungan itu bagi memastikan kerusi DUN Hulu Bernam mengekalkan kemenangan yang disandang BN sebelum ini.

"Selari dengan komitmen tersebut, Amanah Selangor juga akan memastikan anggota dan jentera turut membantu rakan parti yang bertanding di kerusi DUN Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu bagi mencapai sasaran kemenangan 3-0 di Hulu Selangor.

"Kami meminta seluruh pengundi di Selangor khususnya di Hulu Bernam untuk keluar mengundi beramai-ramai dan memberikan sokongan kepada parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran bersama dapat dicapai," tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Hulu Bernam dimenangi calon BN, Datuk Rosni Sohar dengan majoriti 20 undi.

Rosni yang mendapat 8,164 undi menewaskan calon PKR, Amran Sakir yang memperoleh 8,144 undi dan calon Pas, Salleh Ri yang meraih 2,554 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!