Sanusi sasau, tandus idea, moral politik - Setiausaha Politik Anwar

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramahnya di Selangor baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa beliau sasau, ketandusan idea dan moral politik, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata, percubaan sekali lagi Muhammad Sanusi untuk mengalih fakta sejarah dan fitnah berbentuk serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bukti jelas beliau tidak layak menjadi pemimpin.

Menurutnya, ini kerana, pemimpin sepatutnya mempamerkan nilai akhlak dan moral yang tinggi.

“Tindakan penafian dan penyelewengan fakta serta saranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini selain singgungan terhadap pelantikan Menteri Besar Selangor adalah merupakan penderhakaan nyata terhadap kedaulatan institusi diraja dan raja-raja Melayu,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dalam ceramah di program Jelajah Selangor mendakwa Anwar hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi turut menghina Sultan Selangor atas pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, selain beberapa serangan peribadi terhadap menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Muhammad Kamil, fitnah dilemparkan kepada Anwar di khalayak umum itu adalah jauh tersasar daripada akhlak Islamiyah yang sepatutnya ditunjukkan oleh pemimpin parti yang memperjuangkan dasar Islam.

“Apakah kenyataan berunsur fitnah dan penghinaan kini sudah menjadi modal utama Sanusi untuk terus meraih sokongan politik murahan?” soalnya.

Oleh demikian, beliau menyeru supaya masyarakat dapat menilai tindakan ahli politik dengan bijaksana.

“Negara tidak perlukan pemimpin yang sering bercakap dengan nada yang tidak siuman dan tanpa akhlak yang baik, sebaliknya mengangkat budaya politik idea dan moral yang tinggi,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin

Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi

"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!