PRN: Muda umum empat calon bertanding di Selangor

Syed Saddiq pada sidang media pengumuman calon Muda secara langsung dalam talian pada Khamis.
Syed Saddiq pada sidang media pengumuman calon Muda secara langsung dalam talian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan empat calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan depan.

Calon tersebut ialah Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi yang dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Seri Serdang.

Selain itu, Cheda Razak di N41 Batu Tiga, Thanusha Ramanieswaran (N48 Sentosa) dan Melanie Ting (N19 Bukit Antarabangsa).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, empat calon tersebut merupakan antara kategori kumpulan pertama yang dipilih untuk mewakili Muda dalam PRN Selangor.

Ujar beliau, pihaknya dijangka muktamadkan senarai semua calon bagi PRN di enam buah negeri itu pada minggu depan.

“Kami berharap agar rakyat memberikan peluang kepada mereka untuk berkhidmat supaya kita dapat menggerakkan Malaysia ke depan,” katanya dalam sidang media pengumuman calon Muda secara langsung dalam talian pada Khamis.

Dalam pada itu, menurutnya, Muda turut mengetengahkan komitmen untuk semua calonnya supaya diwajibkan untuk mengisytihar aset harta mereka kepada umum.

“Kedua, Muda sebagai parti pada masa hadapan memberikan komitmen bahawa kita ingin mencalonkan 50 peratus calon-calon daripada golongan wanita kerana kita ingin memartabatkan suara dan perwakilan wanita.

“Pada masa yang sama, Muda juga komited untuk memastikan bahawa calon-calon ini bukan sahaja muda dari sudut umurnya tetapi setiap seorang daripada mereka memperjuangkan platform-platform yang unik, tidak kira isu pengangkutan awam, perubahan iklim, politik yang progresif dan meritokratik, semua ada kepakaran masing-masing yang ingin diketengahkan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!