Artikel palsu, wartawan Sinar Harian lapor polis
SHAH ALAM - Satu laporan polis dibuat seorang wartawan Sinar Harian kerana namanya dikaitkan dengan satu artikel palsu berhubung wang Jana Wibawa yang dimuat naik dalam video TikTok atas nama pemilik @shukrisamsudin.
Laporan dibuat Mukhriz Mat Husin, 29, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Khamis berikutan artikel yang ditulisnya sebelum ini telah ditukar kepada fakta yang tidak benar.
"Video tersebut memaparkan tangkap layar sebuah artikel yang memaparkan nama saya sebagai penulis. Sebenarnya tajuk asal artikel itu telah diubah sebelum dipaparkan dalam TikTok tersebut sehingga mengundang rasa kurang puas hati pelbagai pihak," katanya selepas membuat laporan berkenaan.
Mukhriz berkata, beliau membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam artikel palsu tersebut serta mengelakkan salah faham yang menjejaskan kredibiliti dirinya dan Sinar Harian.
Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu sidang akhbar menafikan mengeluarkan kenyataan untuk memulangkan wang Jana Wibawa seperti yang disebarkan dalam video TikTok tersebut.
Menurut beliau, video berdurasi 15 saat itu adalah satu fitnah dan penipuan berniat jahat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!