Anak tukang rumah, pemandu teksi raih PNGK 4.00
SEREMBAN - Anak tukang rumah dan pemandu teksi antara yang memperolehi keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumum pada Khamis.
Mereka ialah Amira Syafiqah Sorhaimi, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Hj Mohd Said dan Erin Ezayu Amylia Abdul Mutalib, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar.
Menurut Amira Syafiqah, bapanya, Sorhaimi Othman, 62, hanya seorang tukang rumah manakala ibunya, Masyum Shariff, 57, suri rumah.
Katanya, pesanan ibu yang mahukan mereka tujuh beradik belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga antara penguat untuk berjaya dalam pelajaran.
"Tiada rahsia mengenai kejayaan saya pada hari ini, namun paling utama adalah tidak meninggalkan solat lima waktu dan sentiasa fokus ketika dalam kelas walaupun dirinya lebih suka belajar secara sendiri berbanding berkumpulan," ujarnya.
Sementara itu, Erin Ezayu Emylia yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik tidak menjangka mendapat keputusan cemerlang.
Dia mengakui bukanlah daripada keluarga yang senang kerana bapanya Abdul Mutalib Mohd Noor, 55, bekerja sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur manakala ibunya, Norlela Abdul Latit, 53, seorang tukang jahit.
"Saya meminati bidang Komunikasi Massa dalam pengkhususan penyiaran dan kursus Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
“Saya telah menghadiri temuduga bagi Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala menunggu keputusan bagi TESL,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!