Hannah tekad perjuang insentif berganda SHAKAM
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berjanji akan memperjuangkan saranan agar nilai insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dinaikkan tiga kali ganda bermula 2024.
Hannah berkata, dengan sokongan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet agar peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat ditingkatkan pada tahun depan.
"Kita akan meningkatkan usaha untuk menambah insentif kerana masa sudah berbeza sekarang. Kita kena tengok bagaimana kita boleh beri insentif yang lebih efektif kepada atlet.
"Kita tahu berbanding negara (jiran) lain, memang tidak setinggi mereka, tetapi seperti TPM kata, kita kena usahakan ganjaran lebih tinggi untuk mendorong atlet kita," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian SHAKAM berjumlah RM2.4 juta, oleh Ahmad Zahid di Bangi pada malam Rabu.
Hannah berkata, pihaknya juga akan melihat kepada cara untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat swasta dalam pemberian insentif kepada atlet seperti pelepasan cukai kepada syarikat pada pembentangan Belanjawan akan datang.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya menyarankan agar nilai ganjaran SHAKAM dinaikkan tiga kali ganda pada 2024 sebagai dorongan kepada atlet yang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Beliau berkata, insentif ketika ini dirasakan tidak mencukupi jika dibandingkan dengan pencapaian atlet negara yang semakin membanggakan pada setiap temasya sukan.
Ahmad Zahid turut menyuarakan harapan dan keyakinan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan insentif tambahan bagi sektor sukan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober depan.
Mengikut kadar SHAKAM sedia ada, pemenang pingat emas di Sukan Olimpik dan Paralimpik akan menerima RM1 juta, manakala perak dan gangsa masing-masing layak mendapat RM300,000 dan RM100,000.
Bagi Sukan Komanwel, Asia dan Para Asia, pemenang pingat akan mendapat RM80,000 (emas), RM40,000 (perak) dan RM20,000 (gangsa), manakala Sukan SEA dan Para ASEAN mendapat RM20,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).
Daripada RM2.4 juta insentif SHAKAM yang disampaikan malam tadi, sebanyak RM1.2 diberikan kepada pemenang pingat di Sukan SEA Kemboja, RM1.18 juta kepada kontinjen Sukan Para ASEAN dan buat julung kalinya, RM95,500 diberikan kepada kontinjen Sukan Olimpik Khas 2023 di Berlin, Jerman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!