Pita Limjaroenrat gagal raih undi majoriti
BANGKOK - Pita Limjaroenrat gagal meraih undi majoriti diperlukan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-30 Thailand.
Keputusan yang tidak berpihak kepada calon reformis tunggal itu, sekali gus menetapkan proses pengundian pusingan kedua untuk melantik pengganti Prayut Chan-o-chan yang dijadualkan pada Rabu depan.
Parlimen Thailand pada Khamis memulakan proses undian untuk melantik Perdana Menteri baharu yang paling dinanti-nantikan banyak pihak sejak kemenangan besar Parti Move Forward (MFP) pada Pilihan Raya Umum Mei lalu.
Pita, 42, menjadi calon tunggal selepas dwi dewan tersebut mula mengundi pada jam 4 petang (waktu tempatan).
Proses itu kemudiannya disusuli dengan sesi perdebatan berhubung kelayakan Pita setelah beliau berdepan tentangan dan halangan berhubung pemilikan saham dalam syarikat media, iTV.
Anggota dwi dewan itu turut membahaskan isu kontroversi yang mencetuskan kebimbangan para senator protentera berhubung rancangan MFP yang mahu mengubah Seksyen 112 atau Undang-undang Lese Majesete.
Sidang hangat yang dipengerusikan Speaker Wan Muhamad Noor Matha itu dihadiri 676 daripada 749 ahli termasuk 216 senator.
"Saya yakin dapat berkhidmat dengan sepenuh jiwa untuk rakyat dan sokongan tanpa henti yang diberikan kepada saya," kata Pita menjelang sesi itu.
Ratusan penyokong pemimpin prodemokrasi itu turut berhimpun di sepanjang jalan di luar Parlimen untuk menyokong Pita yang mengetuai gabungan lapan parti sebagai Perdana Menteri ke-30 Thailand.
Parti gabungannya telah mengawal 312 kerusi, namun beliau memerlukan 375 undi majoriti untuk merealisasikan impian untuk mengembalikan semula pemerintahan awam di negara tersebut.
Pada Selasa, Prayut mengumumkan pengunduran beliau daripada politik termasuk meletak jawatan sebagai anggota Parti United Thai Nation (UTN), namun bekas jeneral tentera itu akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pembentukan kerajaan baharu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!