Mayat wanita terapung dalam longkang
GEORGETOWN - Satu mayat wanita ditemukan di dalam sebuah longkang di Medan Pantai Jerjak, Bayan Lepas di sini, pada pagi Khamis.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Muhamad Amin Mat Masli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.45 pagi.
Menurutnya, susulan daripada itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat satu mayat wanita dalam keadaan telangkup di dalam longkang besar di situ.
"Pemeriksaan mendapati, mangsa berusia lingkungan 60-an telah meninggal dunia. Keadaan mayat berada dalam keadaan telangkup dan terapung.
"Kita terus menjalankan operasi mengangkat mayat tersebut lalu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Operasi tamat pada jam 12.33 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!