Azeem, Khairul Hafiz mara ke separuh akhir
JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi melepasi halangan pertama apabila mudah mara ke saingan separuh akhir acara 100 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand pada Khamis.
Atlet kelahiran Perak yang memiliki rekod peribadi terbaik 10.09 saat (s), mengungguli saringan 2 menerusi masa 10.24s - catatan kelima terpantas pada pusingan pertama dalam perlumbaan yang berlangsung di Stadium Nasional.
Dalam aksi separuh akhir pada Jumaat, pelari berusia 19 tahun itu perlu menambah 'kuasa pecut' dalam misi meraih slot final dan seterusnya mengintai peluang naik podium.
Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengatasi pencabar dari Hong Kong, Lee Hong Kit yang menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan 10.46s dan Ali Anwar Ali Al Balushi dari Qatar ketiga 10.61s.
Bekas pemegang rekod 100m kebangsaan yang juga raja pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan turut mengiringi Azeem beraksi pada separuh akhir apabila mencatat masa 10.46s.
Bagaimanapun, cabaran mereka bukan mudah kerana dijangka bersaing dengan jaguh-jaguh besar seperti bekas pemegang rekod Asia dari Qatar, Femi Ogunode yang mencetak masa keempat terpantas iaitu 10.19s.
Catatan terpantas dalam pusingan pertama menjadi milik pelari Jepun, Hiroki Yanagita dengan masa 10.10s diikuti Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi (10.18s) dan Ryuichiro Sakai dari Jepun (10.18s).
Azeem dan Khairul Hafiz perlu merebut dua slot terbaik daripada tiga peringkat saringan separuh akhir untuk layak ke final berselang dua jam kemudian pada sebelah malam yang dijadualkan pada jam 8 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!