PRN: Larangan berpolitik di masjid, surau di Selangor diperketat
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah membuat ketetapan agar masjid dan surau tidak dijadikan sebagai medan berpolitik dan pusat propaganda politik kepartian.
Justeru, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan pentadbir masjid dan surau seluruh negeri itu untuk mempertingkatkan kawalan dan menguatkuasakan semua larangan ditetapkan menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ini kerana menerusi pemantauan pihaknya masih terdapat pentadbir surau atau masjid memandang ringan larangan tersebut.
"Ini termasuk membiarkan atau membenarkan bahan penerbitan berunsur politik disebar di kawasan masjid atau surau, selain membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan masjid atau surau untuk tujuan politiknya.
"Ini adalah suatu perbuatan jelas melanggar ketetapan dibuat MAIS bagi mengekalkan masjid atau surau sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah, tindakan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menjelang proses PRN dengan mengedar terbitan atau bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid atau surau adalah suatu perbuatan tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta ketetapan MAIS.
"Adalah diingatkan, Sultan Selangor sejak tahun 2018 lagi telah bertitah agar masjid atau surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan.
"Baginda juga sentiasa mengingatkan kepada semua pihak termasuk pentadbir masjid atau surau ketika Istiadat Penyampaian Watikah Nazir dan Imam Masjid Seluruh Negeri Selangor pada 2 Mac di Istana Alam Shah, Klang.
"Selain itu, baginda turut bertitah kepada ahli politik berhubung perkara yang sama ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 13 Mac lalu," katanya.
Katanya lagi, ketetapan MAIS berhubung perkara ini masih berkuat kuasa dan sebarang tindakan bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
"Pegawai masjid dalam masa yang sama juga boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017," tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!