Bukan mudah jadi akhbar neutral

No Image Caption
A
A
A

WARKAH terbuka kepada pemimpin dan rakyat Malaysia:

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Saya menulis surat ini kepada semua peringkat rakyat dan pemimpin yang cintakan negara, memperjuang kebebasan media dan dahagakan politik matang di Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, Sinar Harian menerima serangan bertalu-talu segelintir pemimpin, penyokong dan juga cybertrooper parti politik. Sinar Harian diserang dengan pelbagai label kononnya 'penyokong' parti politik tertentu, malah pengasas Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub difitnah pernah menjadi Pengarang Harakah.

Pelbagai persepsi jahat, tuduhan yang cuba membunuh kredibiliti Sinar Harian digerakkan hanya kerana Sinar Harian menyiarkan berita yang mungkin tidak memihak kepada mana-mana pemimpin atau parti politik.

Pada mulanya, kita mahu mengambil sikap berdiam diri tetapi apabila setiap hari kita dilanyak dan diserang, Sinar Harian perlu tampil menyatakan siapa kami.

Persoalannya siapa kami?

Suatu ketika dulu kami pernah dituduh sebagai media penyokong PKR dan DAP. Tidak lama kemudian kami didakwa pula akhbar Pas. Pada hari yang lain kami digelar akhbar UMNO dan kini ada pula menuduh kami media Bersatu dan Perikatan Nasional.

Hakikatnya selama 17 tahun dalam industri media, kami telah dimomokkan dengan pelbagai gelaran dan tuduhan.

Kami mendapat gelaran ini kerana sejak awal kelahiran Sinar Harian, kami adalah satu-satunya akhbar yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Atas perjuangan media yang bebas kami adalah akhbar SUARA RAKYAT yang sentiasa menyokong kepada sebuah negara bangsa. Inilah DNA Sinar Harian yang ditanam kepada semua karyawan kami.

Lantaran itulah berita dan artikel di Sinar Harian, merentas pelbagai parti politik dan pentas program online kami dibuka untuk semua pemimpin. Tanpa bias dan berpihak. Datanglah berhujah dan menyatakan pendapat di atas pentas kami baik Wacana, TownHall Rakyat, Sinar Live dan lain-lain.

Kami raikan dengan tangan terbuka kerana Sinar Harian sememangnya mahu membudayakan politik baharu berhujah dan berdebat dengan fakta dan adab, bukan caci maki.

Meraikan kebebasan media tanpa bias, kami turut memberi peluang kepada pemimpin merentas segenap parti untuk menyumbang artikel dan menjadi kolumnis.

Sekadar menyebut beberapa nama pemimpin politik yang pernah berkarya di Sinar Harian termasuklah bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Parlimen Bangi (DAP), Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Muar (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Indera Mahkota (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Iklan pelbagai parti

Bukan mudah menjadi akhbar yang neutral seperti Sinar Harian. Kami tiada paymaster. Kami juga bukan media kerajaan yang menerima peruntukan dan dana kerajaan setiap setahun.

Pendapatan kami hanyalah iklan dan jualan akhbar. Kalau online, boleh baca dengan percuma kecuali kandungan premium yang berbayar.

Lantaran itu, kami menerima iklan daripada pelbagai pihak sama ada syarikat korporat, agensi kerajaan mahu pun parti politik. Dan ingin kami tegaskan kami bukan menerima iklan daripada satu parti politik sahaja dan iklan itu tidak mempengaruhi keputusan editorial Sinar Harian.

Apa pun tuduhan dan label yang diberikan kepada kami, saya dengan ini beri jaminan yang saya akan kekalkan neutraliti Sinar Harian. Arahan kepada editorial jelas, jangan memihak. Berlaku adil kepada semua. Jangan sekali-kali spin berita. Laporkan dengan jujur dengan berprinsipkan kebenaran.

Kami juga akan teruskan amalan menerima iklan berbayar dari semua parti politik selagi iklan itu tidak mengutuk atau memfitnah parti lawan. Kami menyediakan platform itu kepada semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Terima kasih kepada semua yang menyokong Sinar Harian selama ini.

* Zamri Rambli

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!