'Beri peluang Tengku Zafrul tanding DUN Sungai Kandis'

Mohd Zaffarollah Mohd Nordin
Mohd Zaffarollah Mohd Nordin
A
A
A
KLANG - Pemuda UMNO Kota Raja mahu ketua bahagian itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos depan.

Hasrat itu dikemukakan Ketua Pemudanya, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin yang memaklumkan penyertaan Tengku Zafrul memberi nilai tambah kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

"Malah, kehadiran beliau di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan sahaja akan memberi nilai tambah kepada pentadbiran PH-BN di Selangor tetapi juga akan membantu memperkukuhkan semula BN Selangor.

"Pemuda berpendapat pucuk pimpinan parti wajar memberi peluang Tengku Zafrul bertanding di kawasan DUN Sungai Kandis yang merupakan sebahagian daripada Parlimen Kota Raja," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaffarollah berkata, bagaimanapun pemuda bahagian itu menyerahkan cadangan itu kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan BN untuk berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melakukan ‘swap’ kawasan.

"Dalam masa sama, Pemuda juga berharap sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raya, Tengku Zafrul akan menolak sebarang pencalonan di luar kawasan Parlimen Kota Raja.

"Kami khuatir menjadi calon payung terjun di kawasan lain hanya akan menjejaskan jentera parti di Kota Raja dan juga jentera parti di tempat baharu beliau.

"Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," katanya lagi.

Namun begitu, Pemuda Bahagian Kota Raja percaya Tengku Zafrul seorang yang berjiwa besar dan boleh terus bekerja untuk kemenangan PH-BN di Selangor sekiranya tidak dicalonkan.

"Peranan dan tanggungjawab Tengku Zafrul penting dalam membantu calon-calon PH-BN mendapat kemenangan seratus peratus dalam Parlimen Kota Raja," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!