Dua penunggang wanita buat aksi zig zag, 'superman' serah diri

Tangkap layar rakaman video yang menunjukkan aksi berbahaya dilakukan dua wanita di KM375.9 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran kawasan Behrang ke Slim River pada 9 Julai lalu.
Tangkap layar rakaman video yang menunjukkan aksi berbahaya dilakukan dua wanita di KM375.9 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran kawasan Behrang ke Slim River pada 9 Julai lalu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Dua penunggang wanita yang dirakam melakukan aksi berbahaya di KM375.9 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran kawasan Behrang ke Slim River menyerah diri pada Khamis selepas kejadian tersebut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kejadian tersebut berlaku pada 9 Julai lalu bagaimanapun video berkenaan tular pada Rabu membabitkan dua penunggang motosikal berkenaan melakukan aksi meniarap di atas motosikal serta bergerak ke kanan dan kiri jalan.

Menurutnya, siasatan awal mendapat dua wanita berusia 18 dan 21 tahun itu dipercayai dari arah Kuala Lumpur menuju ke Ipoh melalui lebuh raya berkenaan dan melakukan aksi tersebut ketika melalui kawasan Rehat dan Rawat Behrang.

"Kesemua suspek berjaya dikesan dan hadir menyerah diri ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim pada Khamis jam 9.10 malam bagi membantu siasatan.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu penmggu jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Hasni berkata, kesalahan tersebut boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan.

Menurutnya, kedua-dua wanita berkenaan yang berasal daripada Pulau Indah, Selangor itu diberikan jaminan polis selepas selesai siasatan dilakukan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan menunggang motosikal secara berbahaya kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!