Pelihara nama baik, integriti PDRM
ISU anggota polis ditahan ketika sedang berhibur di pusat hiburan bukanlah perkara baharu di negara ini walaupun sebenarnya ia hanya melibatkan segelintir anggota.
Pada Sabtu malam lalu, seramai enam anggota polis dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak ditahan dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di Ipoh, Perak.
Pemeriksaan lanjut mendapati seorang anggota beragama Islam dikesan mengambil minuman keras, seorang lagi positif dadah jenis ganja, manakala seorang wanita warga Indonesia turut ditemukan di bilik karaoke pusat hiburan berkenaan bersama-sama anggota berkenaan.
Pada 11 September 2021 pula, empat anggota polis yang bertugas di Selangor, antara 35 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Klang.
Lebih mengejutkan, pada 20 Julai 2021, seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya dan empat wanita orang awam ditahan ketika sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis yang diketuai OCS itu dalam daerah Kajang.
Pujian harus diberikan kepada JIPS Bukit Aman yang tidak teragak-agak untuk melakukan semua serbuan tersebut walaupun ia melibatkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PRDM).
Mengimbas kembali, JIPS telah ditubuhkan secara rasminya pada 25 Julai 2014 dan merupakan jabatan kesembilan dalam PDRM.
Penubuhan JIPS adalah gabungan daripada Urus Setia Ketua Polis Negara Integriti (Tatatertib), Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) serta cawangan Naziran jabatan-jabatan yang dikoordinasikan dalam satu jabatan khusus kepada integriti dan pematuhan standard.
Ia bertujuan memperkasakan PDRM dengan memantapkan integriti pegawai, di samping memastikan tugas dilaksanakan dengan mematuhi standard telah ditetapkan.
Langkah menubuhkan JIPS amat baik bagi memastikan semua anggota polis lebih berintegriti dan tidak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang mungkin boleh mempengaruhi tugas mereka.
Pihak PDRM pada masa sama diharap dapat mengenakan tindakan tegas ke atas pegawai terlibat, bukan sekadar menukarkan mereka ke cawangan lain atau dikenakan tindakan tatatertib.
Jika mereka terbukti positif dadah dan sebagainya yang menyalahi undang-undang, dakwa anggota terlibat ke mahkamah agar ia dapat menjadi pengajaran dan amaran kepada anggota lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!