Insentif berganda lonjak motivasi atlet - Nazmizan
BEKASraja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menyambut baik saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar nilai ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dinaikkan tiga kali ganda pada 2024.
Beliau berkata, kenaikan jumlah insentif itu mampu meningkatkan motivasi atlet untuk memberikan yang terbaik buat negara di pentas antarabangsa.
Malah katanya, ia mampu membuka mata buat ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka bergiat aktif dalam sukan serta mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.
“Dalam kalangan atlet sangat bersyukur dengan pemberian insentif ini kerana ia mampu melonjakkan semangat mereka untuk berkorban buat negara,” katanya pada Sukan Sinar pada Khamis.
Berucap pada majlis penyampaian SHAKAM 2023 di Bangi pada malam Rabu, Ahmad Zahid berkata, insentif ketika ini dirasakan tidak mencukupi jika dibandingkan dengan pencapaian atlet negara yang semakin membanggakan pada setiap temasya sukan.
Nazmizan memberitahu, perjuangan atlet dalam arena sukan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan pengorbanan besar dan daya saing yang tinggi.
Justeru katanya, selain menaikkan nilai ganjaran, insentif juga wajar diberikan kepada pemenang pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA.
“Bukan senang nak menang pingat. Bukan sahaja perak dan gangsa, apatah lagi emas. Ada atlet kita yang patah tangan. Dia dapat perak, tapi tak dapat insentif.
“Insentif pemenang emas Sukan SEA ketika ini ialah RM20,000 dinaikkan jadi RM60,000. Perak mungkin boleh beri RM40,000 dan gangsa RM20,000,” katanya.
Malah beliau turut mendedahkan insentif yang tinggi diberikan oleh Thailand buat atlet mereka yang mencecah RM100,000 seorang.
“Atlet 4x100 meter (m) seramai lima atau enam orang. Menang emas mereka dapat RM100,000 setiap seorang berbanding kita bagi kategori berkumpulan jumlah insentif itu dibahagi sama rata,” katanya.
Nazmizan menjelaskan menerusi pemberian insentif berganda itu juga mampu membantu atlet untuk merancang masa depan mereka dengan lebih baik.
“Menang emas Sukan Asia dapat RM240,000 (jumlah selepas tiga kali ganda). Atlet boleh beli rumah, beli tanah, beri kepada ibu bapa dan keluarga.
“Pemberian ganjaran berganda ini juga mampu menarik minat generasi muda untuk aktif dalam sukan sekali gus meningkatkan jumlah atlet berkualiti buat Malaysia,” katanya.
Berdasarkan skim SHAKAM ketika ini, pemenang emas Sukan SEA menerima insentif RM20,000 (emas kedua RM5,000) tetapi tiada ganjaran untuk pemenang perak dan gangsa.
Pemenang emas Sukan Asia dan Sukan Komanwel pula menerima RM80,000, perak (RM40,000) dan gangsa (RM20,000).
Bagi pemenang emas Sukan Olimpik pula akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).
Malah, mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!