Hasil pertemuan Anwar-Elon dinantikan
PERTEMUAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk secara maya hari ini sememangnya dinanti-nantikan semua pihak.
Manakan tidak, sejak berita mengenai perjumpaan itu dilapor minggu lalu, pemain industri terutama bidang automotif menantikan apakah hasil yang akan diumumkan kelak.
Sebelum ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan, kementerian itu telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan elektrik (EV) ke Malaysia.
Tesla juga dilapor akan membuka sebuah ibu pejabat di negara ini selain memperkenalkan pusat servis dan mewujudkan rangkaian pengecas 'Supercharger' di Malaysia.
Apa yang pasti, pertemuan julung kali antara pemimpin negara bersama pemilik syarikat gergasi EV antarabangsa itu dijangka mendapat reaksi pelbagai terutama dalam usaha Malaysia ke arah menjadi hab EV di rantau ini.
Walaupun hasil pertemuan itu kelak mampu membuahkan hasil lumayan kepada negara, industri automotif tempatan pula seharusnya tidak dipinggirkan.
Seperti saranan pakar automotif, Datuk Mohamad Dalib, industri berkenaan perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuan dengan membina kenderaan EV jenama tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan EV import.
Tidak menafikan pelaburan ikonik itu akan memberi kesan limpahan besar termasuk mampu meyakinkan pelabur asing untuk mengintai peluang di Malaysia, namun peluang jenama tempatan harus diutamakan.
Diharap pertemuan Anwar-Elon memberi khabar gembira di samping mampu meningkatkan ekonomi negara dengan limpahannya dapat dirasai oleh rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!