JPDP siasat kebocoran data dari web Misi Rakyat

Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi - Foto FB Founder Misi
Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi - Foto FB Founder Misi
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah memulakan siasatan terhadap insiden ketirisan data peribadi laman sesawang Misi Rakyat milik syarikat Bangsa Bertauhid Sdn Bhd.

Menerusi kenyataan, jabatan itu memaklumkan pengasas Misi Rakyat Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi telah dipanggil untuk hadir ke JPDP pada Khamis bagi prosedur rakaman percakapan.

JPDP bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi mengenal pasti sekiranya berlakunya sebarang pelanggaran di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Jabatan itu telah menerima laporan insiden ketirisan data laman sesawang Misi Rakyat daripada MyCert, CSM pada 4 Julai.

Pada hari yang sama, JPDP telah menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan pengesahan berkenaan insiden dan sampel data yang terlibat.

"Syarikat itu juga telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman dan melengkapkan borang Notifikasi Ketirisan Data (DBN)," kata JPDP pada Jumaat.

Sehubungan itu, JPDP menggesa agar semua syarikat dan organisasi yang memproses data peribadi dalam transaksi komersial untuk mematuhi prinsip, peraturan dan standard perlindungan data peribadi di bawah Akta 709.

"Syarikat dan organisasi juga diingatkan agar lebih berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelak berlakunya insiden ketirisan data peribadi," kata jabatan itu.

Minggu lalu, Nur Ahmad mengesahkan laman web Misi Rakyat digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, kesemua data pengguna aplikasi seperti nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan, email, password, dan banyak lagi dipercayai telah bocor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!