Empat sekeluarga, bomba sesak nafas dalam kebakaran
KUALA LUMPUR - Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak mengalami sesak nafas dan pengsan selepas rumah didiami mereka mengalami kebakaran di Jalan SE Utama, Taman Samudera Teres, Gombak, pada tengah malam tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang anggota bomba mengalami sesak nafas semasa memadamkan kebakaran.
Menurut Pengarah JBPM Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.55 malam, pada Khamis. Pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan BBP Rawang tiba di lokasi kejadian pada 12.21 pagi.
"Kebakaran melibatkan rumah teres tiga tingkat dengan anggaran kebakaran 50 peratus.
"Terdapat empat sekeluarga terdiri daripada ibu bapa dan dua anak mereka berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian itu berlaku.
"Ibu bapa dan anak lelaki mereka mengalami sesak nafas manakala seorang lagi anak perempuan mereka tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Wan Md Razali berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.
"Manakala anggota bomba yang mengalami sesak nafas turut dibawa ke hospital yang sama dan berada dalam keadaan stabil.
"Punca kebakaran dan anggara kerugian masih dalam siasatan," ujarnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!