Young dedah punca sertai Everton
ASHLEY Young menjadi pemain pertama direkrut Everton menjelang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila pemain berusia 38 tahun itu menandatangani perjanjian setahun bersama The Toffees.
Bekas pemain pertahanan Manchester United itu menyertai perpindahan percuma selepas kontraknya di Aston Villa tamat pada akhir musim lalu.
Young bertemu semula dengan pengurus Everton, Sean Dyche yang merupakan kaptennya ketika bersama Watford pada awal kariernya.
“Sejujurnya, pengurus merupakan faktor penting mendorong saya menandatangani kontrak bersama Everton.
“Saya mengenalinya dan tahu bagaimana keghairahan serta keinginannya. Kejujurannya, keinginan untuk bekerja keras dan rasa laparnya terhadap permainan itu tiada duanya,” kata Young.
Sebagai rekod, Everton melanjutkan tempoh 70 tahun di liga utama Inggeris dengan margin paling kecil sepanjang dua musim lalu.
Satu lagi pertempuran penyingkiran dijangka musim depan dengan kelab itu mengalami tekanan kewangan yang ketara berikutan pembinaan stadium baharu dan peraturan permainan adil kewangan.
“Saya tahu keadaan tidak begitu baik untuk Everton dalam beberapa musim lalu tetapi cita-cita pengurus, bercakap dengannya dan mendengar apa yang dia mahu lakukan untuk mengubah kelab itu, adalah faktor utama dalam keputusan saya.
“Yang lain adalah saiz Everton. Ia adalah kelab yang besar dan peminatnya adalah salah satu yang terbaik,” ujar Young.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!