Guru terlepas kerja pentadbiran
BERDASARKAN laporan akhbar harian, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) menasihatkan semua pengetua dan guru besar supaya tidak lagi membebankan guru dengan kerja-kerja pentadbiran sewaktu bertugas di sekolah.
KPPM mahu semua guru fokus sepenuhnya pada tugas hakiki mereka iaitu mengajar. Memang tugas profesional guru ialah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) mengikut jadual waktu yang ditetapkan oleh pentadbir sekolah.
Tugas PdP bermula dengan penyediaan rancangan pelajaran harian dan bahan-bahan sokongan pembelajaran. Maknanya apabila tiada lagi tugas-tugas tambahan, tentulah guru mempunyai banyak masa dan boleh memberikan tumpuan penuh pada pengajaran dan pembelajaran murid.
Tentulah kualiti pembelajaran guru semakin baik dan meningkat. Hasilnya, proses pengajaran guru berjalan lancar dan pembelajaran murid menarik dan berkesan. Penerapan ilmu dapat disempurnakan dengan jayanya manakala pembinaan kemahiran bagi setiap ilmu yang diterapkan, dapat dikuasai oleh murid.
Nampaknya premis ini sangat cantik namun adakah realitinya sedemikian? Persoalan ini masih belum dapat dijawab kerana rata-rata guru masih mempunyai tugas-tugas tambahan selain tugas pengajaran.
Mungkin jawapan bagi persoalan ini boleh diketahui pada hujung tahun hadapan jika semua 10,500 pengetua dan guru besar tidak lagi memberikan tugas tambahan mulai awal tahun hadapan.
Serentak dengan itu, pada hujung tahun ini penolong-penolong kanan dan guru-guru kanan tidak perlu lagi bersengkang mata untuk menyediakan Buku Susunan Tugas Guru dan Carta Organisasi Sekolah untuk ditaklimatkan kepada semua guru sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.
Memadailah dengan menyediakan jadual waktu harian guru dan agihan pengajaran mengikut mata pelajaran. Jika hal ini benar-benar berlaku, maka amalan zaman-berzaman selama 60 tahun dalam sistem persekolahan akan berubah dan berputar sebanyak 360 darjah.
Penulis berkesempatan menemui beberapa orang guru besar dan menanya mereka tentang nasihat KPPM berkaitan isu tugas tambahan guru. Ada yang mengatakan kalau guru-guru tidak membantu pentadbir menjalankan tugas tambahan yang diagihkan, pentadbir akan menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan sebahagian tugas harian.
Tugas-tugas penting seperti setiausaha akademik, guru pusat sumber, guru sukan, guru disiplin, guru persatuan, kelab dan permainan, guru peperiksaan, guru kebersihan dan kecantikan sekolah, guru koperasi dan guru skim pinjaman buku teks jika tidak dibantu oleh guru, siapakah lagi yang boleh membantu pentadbir sekolah.
Kementerian Pendidikan perlu membuat kajian menyeluruh tentang beban kerja guru. Pastikan betul-betul adakah guru masa kini terbeban dengan kerja dan pastikan apa pula jenis kerjanya.
Kita menyokong jika kerja-kerja perkeranian dan pelaporan yang tidak sesuai dibuat oleh guru, diberhentikan serta-merta. Yang kita bimbang ialah guru mula berkira dengan kerja walhal kerja itu adalah untuk penyampaian ilmu, pembinaan sahsiah murid dan pengembangan bakat murid.
Lebih malang lagi jika ada telahan yang mengatakan guru masa kini sudah mula malas bekerja. Kalau ada yang mengadu terbeban itu, tergolong daripada guru yang berkira dengan kerja lebih masa atau tidak mahu berkorban sedikit masa dan tenaga untuk terlibat dalam program kecemerlangan sekolah pada waktu petang atau pada bukan hari persekolahan, kita khuatir profesion guru yang selama ini dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat, tidak lagi dipandang sebagai profesion yang mulia.
Pengetua dan guru besar perlu mematuhi arahan kerja daripada pihak atasan dan dalam masa yang sama di bawahnya perlu pula berhadapan dengan kerenah guru, murid dan ibu bapa murid.
Pendek kata, pengetua dan guru besar perlu menjaga daripada sehelai daun hingga ke sebesar-besar bangunan, daripada pintu pagar ke dalam seluruh kawasan sekolah. Kalau mereka tidak dibantu oleh guru maka amatlah sukar bagi mereka untuk memenuhi kehendak pendidikan masa kini yang semakin rencam sifatnya.
* Penulis ialah Munsyi Dewan sejak tahun 1995. Beliau merupakan pesara pegawai pendidikan daerah dan bekas guru pakar Bahasa Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!