PRN Selangor: Amanah alukan saingan calon Muda

Farid El- Amin. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Khamis
Farid El- Amin. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara Selangor (Amanah) menyambut baik pengumuman Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang akan meletakkan empat calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos depan.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Selangor, Farid El- Amin berkata, tanggapan persaingan yang pada mulanya hanya membabitkan satu lawan satu antara PH-BN dan PN kini dirancakkan lagi dengan calon Muda.

Menurutnya, PRU15 menyaksikan Muda bertanding di Tanjong Karang, namun tewas dan kini memilih untuk bergerak bersendirian selepas tiada keputusan kebersamaan dengan PH.

"Saya mengalukan kehadiran Muda bertanding di beberapa kerusi yang diumumkan dan Amanah akan mempertahankan kerusi Seri Serdang yang disandang sejak 2018.

"Muda telah menamakan Amir Hadi sebagai calon PRN bagi DUN Seri Serdang, amat wajar pimpinan Amanah negeri mahupun nasional meletakkan Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al-Rashid bertanding di kerusi tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Farid berkata, langkah itu dapat memberikan saingan yang baik antara dua tokoh anak muda dalam membawa ideologi dan aspirasi anak muda serta membawa suara segenap lapisan masyarakat.

"Tambahan pula Danial Al-Rashid juga merupakan Pegawai Khas Exco serta Ketua Jabatan Agensi Selangor yang terlibat langsung dalam dasar dan polisi kerajaan. Pengalaman itu dapat digunakan sekiranya mendapat tempat di DUN tersebut.

"Matlamat kami jelas, untuk mengekalkan kerajaan negeri Selangor dan menguatkan kerjasama dengan BN. Siapa pun yang akan kami depani, kami akan lawan habis-habisan," ujarnya.

Pada Khamis, Muda menamakan empat calon daripada parti itu yang akan bertanding bagi PRN Selangor.

Mereka terdiri Amir Hadi bagi DUN Seri Serdang, Cheda Razak (Batu Tiga), R Thanusha ( Sentosa) dan Melanie Ting (Bukit Antarabangsa).

PRN di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, kedah, Kelantan dan Terengganu akan diadakan serentak pada 12 Ogos depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya turut menetapkan 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon sementara undi awal pada 8 Ogos 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!