Suri rumah didenda RM1,800 buat laporan palsu
KUALA PILAH - Gara-gara membuat laporan polis palsu kononnya disamun, seorang suri rumah didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Saiful Sayoti terhadap Hafeeza Syuhada Abdul Hamid, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan turut berdepan hukuman tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu dengan mendakwa disamun di tepi jalan Juasseh,Kuala Pilah oleh dua lelaki.
Perbuatan itu dilakukan pada jam 1.51 tengah hari di Balai Polis Kuala Pilah.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menerusi kenyataan media Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, mangsa membuat laporan beg tangannya diragut dua lelaki yang menunggang motosikal.
Dalam laporan tersebut, wanita itu mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM40,000, bagaimanapun siasatan lanjut mendapati dia membuat laporan polis palsu untuk membuat tuntutan daripada syarikat insurans pelancongan yang memberi perlindungan insurans.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!